Thursday, May 2, 2013

Isu Dakwat Kekal : Pegawai Tentera Kecam Tian Chua

alt

KUALA LUMPUR 1 Mei - Seorang pegawai tentera menafikan dakwaan Pakatan Rakyat yang mengaitkannya dengan tuduhan dakwat kekal pada jarinya hilang selepas mengundi awal semalam.
    
Mejar Azmee Buang, 41, dari Unit Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, berkata dakwat yang dicalit dijarinya masih kekal hingga hari ini.
"Saya nafikan yang saya adalah anggota tentera yang mendakwa dakwat kekal yang dicalit ke jari saya oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, hilang.
    
"Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mencemar namanya jika mereka tidak mengambil tindakan membuat pembetulan atas dakwaan tersebut," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Wisma Kementerian Pertahanan di sini hari ini bersama beberapa anggota tentera untuk memberi penjelasan mengenai isu tersebut.
    
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan merupakan individu yang menaiki sebuah kereta berwarna merah sambil menunjuk jarinya yang dicalit dakwat, yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook semalam oleh pihak yang tidak dikenali.
    
Katanya, gambar itu diambil semasa beliau berhenti di Taman Koperasi Polis selepas mengundi di Kem Perdana Sungai Besi tengah hari semalam, dan ketika itu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar yang berada di situ memintanya menunjukkan jari yang dicalit dakwat.
   
"Pada ketika itu terdapat beberapa orang yang tidak dikenali bersama Nurul Izzah, mengambil gambar saya.
    
"Saya turut menafikan bahawa beliau bersama Naib Presiden PKR Tian Chua membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang di sini, semalam berhubung dakwaan kononnya penggunaan dakwat kekal tidak kekal," tegasnya.
        
Semalam Tian Chua dilaporkan mendakwa beliau terpaksa membuat laporan polis berseorangan setelah anggota tentera yang dikenali sebagai Azmi hilang sebelum Tian Chua sempat membawanya ke balai polis untuk membuat laporan mengenai dakwat kekal itu.

SUMBER - KLPOS

No comments:

Post a Comment