Saturday, March 9, 2013

TMJ digantung 6 bulan, denda RM18,000..FAM KEBAL...!!!


PETALING JAYA - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim digantung selama enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak dan didenda sebanyak RM18,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas dua pertuduhan.

Dua pertuduhan berkenaan ialah melanggar Artikel 88 Statut FAM edisi 2010-2014 serta mengkritik mutu pengadilan dalam Liga Malaysia.

Berdasarkan artikel berkenaan, hanya Presiden dan Setiausaha Agung sahaja dibenarkan membuat kenyataan media dan individu lain perlu mendapatkan kebenaran daripada ahli kongres FAM sebelum berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufik Abdul Razak berkata hukuman tersebut dijatuhkan selepas Tunku Ismail, yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ), mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

"Hukuman berkuatkuasa serta merta dan kita akan menghantar surat hukuman tersebut dalam masa terdekat. Hukuman ini tidak boleh dirayu kerana ia adalah hukuman minima," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Tunku Ismail sebelum ini dilaporkan telah mengkritik mutu pengadilan sewaktu aksi Liga Super antara Johor Darul Takzim FC (JDT FC) menentang wakil kelab Singapura, Lions XII pada 19 Feb lepas di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan tersebut.

Pada masa sama, PBNJ turut dikenakan hukuman denda RM30,000 atas kesalahan penyokong Johor membakar suar ketika Johor Darul Takzim menentang Negeri Sembilan pada saingan Liga Super, 2 Mac lalu.

Taufik berkata jawatankuasa disiplin menjatuhkan hukuman berkenaan selepas Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Othman mengaku bersalah terhadap pertuduhan
berkenaan.

"Jawatankuasa Tatatertib turut memberikan amaran keras kepada PBNJ supaya memastikan perkara berkenaan tidak berulang pada masa akan datang dan hukuman ini juga tidak boleh dirayu sama seperti kes Tunku Ismail," kata Taufik.

Pada perlawanan tersebut, pengadil terpaksa menghentikan perlawanan pada minit ke-84 selepas penyokong JDT FC bertindak liar dengan menyalakan suar sekali gus menghalang aksi di tengah padang.

SUMBER - BERNAMA

No comments:

Post a Comment